Saturday, March 20, 2010

Masalah Kencing Tak Lawas


SAYA berusia 53 tahun dan mengalami masalah kencing tak lawas. Saya belum membuat pemeriksaan doktor kerana malu. Adakah usia begini dianggap awal untuk mengalami masalah ini? Apakah tip-tip dan pemakanan sesuai untuk menangani masalah ini?

JAWAPAN,

Masalah kencing tak lawas akibat pembesaran kelenjar prostat adalah lazim di kalangan lelaki berusia. Sebenarnya anda tidak keseorangan. Ini kerana pembesaran prostat boleh menjejaskan sehingga 50 peratus kaum lelaki yang berusia 50 tahun dan ke atas. Semakin bertambah usia seseorang lelaki, maka semakin tinggi risiko untuk mendapat masalah seperti ini.

Adalah dicadangkan agar membuat pemeriksaan doktor untuk memastikan kencing tak lawas yang dialami sememangnya berpunca daripada pembesaran kelenjar prostat yang tidak bersifat kanser. Antara amalan yang boleh diamalkan untuk mengurangkan ketidakselesaan anda termasuklah:

Hadkan pengambilan minuman waktu malam. Ini dapat membantu mengurangkan kekerapan keperluan ke bilik air pada waktu malam. Ini juga akan membantu mengurangkan gangguan tidur anda.

Kurangkan jumlah penggunaan alkohol dan kafein. Alkohol, kopi, teh, coklat dan minuman ringan mempunyai kesan diuretik yang boleh menambahkan kekerapan buang air kecil.

Gunakan setiap kesempatan untuk ke bilik air. Cuba kosongkan dengan sepenuhnya pundi kencing anda dan elakkan penundaan proses ini kerana ia akan meregangkan pundi kencing.
 
Latihan pundi kencing. Amalan yang tetap dan teratur untuk buang air kecil akan membantu memperbaiki frekuensi dan keinginan kencing yang teruk.

Cuaca dingin atau berada dalam persekitaran sejuk akan meningkatkan frekuensi keinginan untuk kencing. Oleh yang demikian, mengelakkan berada dalam persekitaran sejuk sedikit sebanyak akan melegakan anda.

Makanan tambahan seperti saw palmetto telah lama digunakan oleh jutaan lelaki untuk meringankan gejala kencing akibat pembesaran prostat yang bukan bersifat kanser. Keberkesannya dipercayai kerana kebolehannya merencatkan penukaran testosteron menjadi dihidrotestosteron, hormon yang dikaitkan dengan pertumbuhan tisu prostat. Di samping itu, biji labu juga telah lama digunakan kerana manfaatnya bagi kesihatan prostat. Biji labu yang kaya dengan asid lemak tidak tepu dan kandungan zink yang tinggi membantu kesihatan reproduksi lelaki. Kombinasi suplemen saw palmetto dan biji labu membawa manfaat dalam pengurusan kesihatan prostat.
 
 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...