Thursday, February 18, 2010

PROSTAT MEMBESAR & KERAP KENCING


Risiko masalah pembesaran prostat boleh meningkat seiring dengan peningkatan usia, yang banyak dikaitkan dengan perubahan hormon.

Biasanya saiz prostat adalah sebesar saiz kacang walnut, namun pembesarannya boleh bermula selepas melewati usia 40-an.

Walaupun ia tidak bersifat kanser, namun kehadirannya menjejaskan kualiti kehidupan apabila seseorang lelaki itu mengalami masalah pembuangan air kencing, seperti kencing semakin kerap atau terpaksa meneran untuk kencing walau ada keinginan untuk kencing.

Apabila keadaan menjadi serius, pengaliran air kencing mungkin tidak terkawal dan sering menitis.

Masalah ini selalunya boleh diringankan (namun bergantung kepada tahap masalah) dengan nutrisi dan herba.

Herba saw palmetto ialah herba yang paling popular digunakan untuk melegakan simptom-simptom yang berkaitan dengan pembesaran prostat.

Saw palmetto mengandungi fitosterol, bahan yang dapat mengawal pertumbuhan sel prostat. Biji labu pula digunakan oleh ahli herba dan ahli naturopati untuk merawat masalah prostat.

Keberkesanan herba ini adalah disebabkan oleh kandungan asid-asid lemak perlu, zink dan sterol tumbuhannya.

Pengambilan suplemen kombinasi saw palmetto dan biji labu menghasilkan kesan yang lebih baik disebabkan oleh kesan sinergistiknya.

Kekurangan zink juga dikaitkan dengan inflamasi dan pembesaran prostat. Dengan ini, mereka yang mengalami masalah ini juga digalakkan untuk mengambil mineral zink.


MATI PUCUK BOLEH SEBABKAN SERANGAN JANTUNG


KOTA BHARU 15 Ogos - Kaum lelaki yang mula mengalami masalah mati pucuk atau menghadapi masalah ereksi, terdedah dengan serangan penyakit jantung dalam tempoh dua tahun.

Pakar Perunding Urologi Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Datuk Dr. Tan Hui Meng berkata, mati pucuk adalah tanda-tanda awal kepada penyakit jantung kerana saluran darah mula mengecil.

"Kajian sains yang dilakukan mendapati penghidap penyakit ini akan menghadapi masalah jantung kerana dalam tempoh dua tahun itu, saluran darah dalam tubuh badan mula tersumbat dengan kolesterol,'' katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Kesihatan Seks Kedua di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, mereka yang menghadapi masalah mati pucuk perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin daripada pakar perubatan.

Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Kesihatan Keluarga Universiti Sains Malaysia (Famous) itu dirasmikan oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan USM, Nik Abdullah Nik Mohamad yang mewakili Pengarah kampus tersebut, Profesor Datuk Mafauzy Mohamad.

Persidangan diadakan bagi memberi pendedahan kepada golongan profesional seperti doktor dan jururawat untuk berhadapan dengan pesakit yang menghadapi masalah seks.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Perunding Kanan Psikiatri, Jabatan Psikiatri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Hatta Sidi; Ketua Seksyen Perubatan Seks Hospital Universiti Nasional Singapura, Prof. Dr. P Ganesan Adaikan dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Profesor Madya Dr. Shiaful Bahari Ismail.

Dalam pada itu, Hui Meng berkata, kajian terbaru saintis terhadap masalah seks mendapati, 90 peratus daripadanya adalah disebabkan oleh tahap kesihatan seseorang yang semakin merosot.

Katanya, selain penemuan sekumpulan saintis barat sebelum ini, kajian yang dijalankan beliau sendiri pada tahun 2006 turut mengesahkan punca tersebut.

Selama ini menurutnya, kajian dan teori berkaitan masalah seks menunjukkan 90 peratus masalah itu berpunca daripada cara pemikiran individu terbabit.

"Dalam kajian kesihatan lelaki yang dilakukan di Subang Jaya pada 2006 diketuai saya sendiri, didapati kebanyakan lelaki yang mempunyai masalah seks terdiri daripada mereka yang berhadapan dengan masalah kesihatan.

"Kajian itu juga menunjukkan lelaki di Lembah Klang berhadapan masalah kesihatan yang serius kerana keadaan persekitaran dan pemakanan tidak seimbang," katanya. 
Menurutnya, kajian yang mengatakan masalah seks berpunca daripada cara pemikiran memang benar pada masa dahulu tetapi keadaan sekarang telah mengubahnya.

"Mungkin dulu ia memang benar tetapi kita pada hari ini, kebanyakannya mengamalkan cara hidup yang tidak sihat dan hidup dalam keadaan tertekan setiap hari," katanya.

LELAKI BANYAK PENYAKIT


Susunan : NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

SEJAUH manakah kebenaran pendapat mengatakan wanita kaum yang lemah. Daripada segi fizikal dakwaan ini mungkin benar tetapi tahukah anda ada banyak bukti yang menunjukkan lelaki sebenarnya jauh lebih lemah berbanding wanita terutama dalam aspek kesihatan.

Ini bukan setakat cakap kosong tetapi mempunyai sokongan statistik. Mungkin faktor keturunan dan hormon mempengaruhi beberapa aspek tertentu seperti taburan lemak badan.

Pada lelaki lemak berkumpul di bahagian abdomen (bentuk epal) yang dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan strok.

Manakala bagi wanita, pengumpulan lemak lebih tertumpu pada punggung dan paha. Walaupun kegemukan atau obesiti bentuk pir juga berbahaya tetapi ia tiada kaitan rapat dengan penyakit jantung yang boleh menyebabkan kematian.



Laporan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) 2004 menyenaraikan 10 pembunuh utama lelaki Amerika diterajui penyakit jantung (28.4 peratus), kanser (24.1), kemalangan (5.8), strok (5.2), penyakit sekatan pernafasan kronik (COPD, 5.1), kencing manis (2.8), influenza dan pneumonia (2.4), bunuh diri (2.1), buah pinggang (1.6) dan penyakit hati kronik (1.5).

Senarionya mungkin berbeza sedikit dengan keadaan di Malaysia tetapi penyakit jantung masih menjadi pembunuh nombor satu negara ini, diikuti kanser. Jumlah pesakit COPD juga dijangka bertambah kerana jumlah perokok di negara kita semakin meningkat. Pesakit kencing manis dan tekanan darah tinggi juga berkali ganda jumlahnya.

Malah, berdasarkan maklumat kesihatan Mayo Clinic, tabiat atau gaya hidup lelaki juga menyumbang kepada kematian awal kerana lelaki lebih ramai merokok, minum minuman keras, menyalahguna dadah, terbabit aktiviti seks bebas dan menjadi mat rempit.

Namun satu perkara yang jelas dan nyata, kebanyakan kes kematian awal dapat dielakkan.

Sakit jantung menjadi pembunuh utama rakyat negara ini tetapi lebih banyak kes membabitkan lelaki. Kes sakit jantung di kalangan wanita biasanya hanya berlaku selepas menopaus iaitu 10 hingga 15 tahun lebih lewat berbanding lelaki.

Risiko penyakit jantung boleh dikurangkan dengan amalan gaya hidup sihat, mendapatkan rawatan sewajarnya untuk merendahkan kolesterol, kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Pembunuh kedua ialah kanser. Walaupun ada kanser yang tidak diketahui puncanya, kajian menunjukkan rokok boleh menyebabkan banyak jenis kanser terutamanya kanser paru-paru dan mulut. Justeru jalan mudah untuk lebih sihat ialah berhenti merokok.

Angka kematian akibat kemalangan di jalan raya tidak pernah susut. Sedihnya masih ada stigma memandang rendah kepada sikap berhati-hati dan menganggap pemandu perempuan lebih cenderung terbabit dalam kemalangan.

Begitu juga dengan kemalangan di tempat kerja, jenis pekerjaan berbahaya dan berisiko tinggi, terdedah kepada bahan kimia berbahaya serta pencemaran yang kesemuanya berkait rapat dengan lelaki.

Peluang mendapat strok antara lelaki dan perempuan adalah sama. Malah kajian menunjukkan lelaki mempunyai peluang yang lebih baik untuk sembuh.

COPD adalah antara penyakit yang dimonopoli lelaki tetapi kini lebih ramai wanita turut berisiko menghidapnya. COPD juga berkait rapat dengan kanser paru-paru kerana kedua-duanya disebabkan tabiat merokok.

Kencing manis dan kegagalan buah pinggang juga boleh menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan sewajarnya. Pada 2002, dianggarkan lebih 34,000 lelaki Amerika mati akibat kencing manis dan kegagalan buah pinggang berfungsi meragut lebih 19,000 nyawa.

Komplikasi kencing manis yang tidak terkawal boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, strok dan penyakit jantung.

Dianggarkan satu pertiga pesakit tidak sedar menghidap kencing manis sehinggalah mengalami kesan penyakit seperti mati pucuk atau disfungsi erektil (ED), kerosakan saraf terutama pada kaki yang menyebabkan kaki selalu rasa kebas, pandangan menjadi kabur dan buah pinggang rosak. 


ADA KETULAN DI KULIT BUAH ZAKAR


Kulit buah zakar unik kerana ia licin dan halus serta mengandungi pepundi apokrin yang menghasilkan pelembap semula jadi. Di bawah kulit pula ada otot tenang atau ‘smooth muscle fibre’ yang boleh mencengkam dan mengecilkan buah zakar.

Apabila salur pundi apokrin tersekat, cecair pelembap terkandas dan berkumpul di dalam, oleh itu ia kelihatan seperti jerawat berwarna kuning yang dikenali sebagai cista epidermoid.

Apabila cista itu pecah, akan terkeluar cecair kekuningan yang memberi bau yang tidak menyenangkan. Ia dikenali sebagai ‘wen’.

Untuk mengelak wujudnya cista epidermoid, bulu roma kerandut jangan dicukur kerana apabila kulit kerandut radang, salur pundi apokrin terkandas dan cista itu akan terbentuk.


2/3 KAUM ADAM OBES



Lelaki, makanlah banyak sayur

Lebih daripada dua pertiga kaum Adam adalah obes. Adakah ini petanda masanya sudah tiba untuk mereka mengubah tabiat pemakanan?

LELAKI dan wanita sememangnya berbeza. Bukan sahaja dari segi gender, penampilan, perilaku dan reaksi malah, juga dari aspek pemakanan.

Satu kajian baru yang melibatkan lebih 14,000 peserta dari 10 negeri di Amerika mendapati, pengambilan makanan berdaging adalah lebih tinggi di kalangan lelaki.

Kaji selidik yang berlangsung menerusi panggilan telefon ini turut mendedahkan wanita mengambil lebih banyak sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka.

Piza beku, burger beku dan makanan-makanan Mexico adalah antara makanan pilihan kaum lelaki. Pun begitu, mereka masih cenderung mengambil sayuran seperti asparagus, brussel, kacang pea, kacang tanah dan pucuk-pucuk sayur.

Selain itu, lelaki juga lebih gemar mengambil makanan stik yang tidak masak sepenuhnya, burger dan makanan bertelur. Makanan-makanan ini biasanya mempunyai risiko pencemaran yang tinggi dan berpotensi membuatkan anda jatuh sakit.

Wanita sebaliknya lebih kerap mengambil tunas-tunas alfalfa mentah yang pernah dikaitkan dengan keracunan makanan kira-kira 15 tahun lalu.

Keprihatinan kaum wanita terhadap kesihatan dengan mengambil makanan yang menyihatkan turut dibuktikan dalam satu kajian baru oleh Yayasan Majlis Maklumat Pemakanan Antarabangsa (IFIC).

Pengambilan makanan sihat bukan hanya untuk mengekalkan tahap kesihatan secara menyeluruh malah bagi memperbaiki rasa kenyang dan keadaan sistem pencernaan mereka.

Menurut Pengarah Kesihatan dan Nutrisi Yayasan IFIC, Wendy Reinhardt Kapsak: "Tidak terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita tentang pandangan terhadap jenis makanan yang diambil. Memang jelas mereka mempunyai tahap keutamaan dan keadaan berbeza yang mempengaruhi tabiat pemakanan dan nutrisi mereka."

Keperluan nutrisi wanita adalah lebih unik dan bukan sahaja berbeza daripada lelaki. Tambahan pula, keadaan ini juga berubah sepanjang kehidupan mereka.

Bermula dari zaman remaja, wanita lebih memberi tumpuan kepada makanan yang kaya dengan kalsium, vitamin D dan menyediakan satu pemahaman asas terhadap pengamalan tabiat yang baik.

Ini kemudiannya berterusan kepada pengambilan antioksida pada usia 20-an dan 30-an sebelum menjadikan kesihatan jantung satu keutamaan sebelum mencecah 40 tahun ke atas.

LELAKI lebih gemar mengambil makanan yang terdedah kepada risiko pencemaran tinggi seperti stik separuh masak dan burger.

Dalam pada itu, seorang pakar diet bertauliah, Dr. Chris Mohr yang telah mengarang ratusan artikel mengenai tahap kecergasan dan nutrisi kaum lelaki berkata: "Saban kali dalam sesuatu masyarakat, kita sering terlebih makan tetapi masih tidak memperoleh nutrisi mencukupi."

"Pengambilan nutrien yang betul sememangnya boleh memberi kesan kepada perasaan, tahap tenaga dan mengurangkan risiko mendapat penyakit sepanjang hidup anda. Berikan perhatian kepada sayuran dan buah-buahan termasuk makanan tinggi serat dan lemak omega-3 adalah penting untuk mengoptimumkan kesihatan dan kecergasan anda."

Sayuran dan buah-buahan mengandungi pelbagai nutrien yang penting untuk badan. Vitamin, mineral, serat dan fitokimia yang mampu membantu mengurangkan risiko pelbagai kanser, penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Jadi, mengapa lelaki memerlukan hidangan sayuran dan buah-buahan yang lebih banyak berbanding golongan Hawa?

* Lebih daripada dua pertiga kaum Adam adalah obes. Malah, lelaki juga mencatatkan kadar kematian lebih tinggi untuk sesetengah jenis penyakit berbanding wanita.

* Lelaki adalah dua kali ganda lebih cenderung mendapat kanser paru-paru, satu kali ganda memperoleh penyakit jantung dan kanser kolorektal.

Oleh itu, biarpun sebab utama lelaki lebih cenderung memakan asparagus berbanding wanita belum dapat dijelaskan, sekurang-kurangnya kajian ini membawa satu mesej penting. Lelaki mungkin perlu mengubah gaya pemakanan mereka mulai hari ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...